Amanah Seorang Tokoh

Tokoh Ulama’ yang akan diceritakan pada kali ini ialah Imam al-Laits bin Sa’d al-Fahmi. Beliau sangat disegani di Mesir pada zamannya. Berkata al-Hafiz al-Zahabi dalam Tazkiratul Huffaz, “Beliau pembesar kota Mesir dan tokoh alimnya yang paling handal. Bahkan pembantu pemerintah Mesir dan Kadi Mesir tunduk kepada perintahnya.”

Al-Laits terkenal dengan cirinya yang sangat alim. Bahkan Imam al-Syafie menyesal kerana tidak berkesempatan belajar daripadanya. Hal ini demikian kerana beliau masuk ke Mesir setelah al-Laits meninggal dunia. Berkata al-Syafie, “Tidak ada seorang pun yang aku rasai kehilangannya lalu aku menyesal di atas pemergiannya sepertimana penyesalanku (kerana tidak berjumpa) dengan al-Laits Bin Sa’d dan Ibnu Abi Zi’b.”

Kebesaran nama dan ketinggian pangkat beriringan dengan amanat dan tanggungjawabnya. Oleh itu, sebagai tokoh, al-Laits bin Sa’d selalu menjaga sikapnya. Beliau melakukan sedemikian atas nasihat gurunya, Yahya bin Sa’id al-Ansari sebagaimana kisah berikut.

Berkata al-Laits bin Sa’d, “Suatu ketika aku berada di Madinah bersama para Jemaah haji. Kebetulan waktu itu jalan-jalan di kota Madinah penuh dengan najis haiwan. Aku pula berjalan dengan memakai sepasang khuf.”

Beliau melanjutkan, “Setibanya di masjid, aku membuka salah satu daripada khufku. Lalu aku masuk ke dalam masjid dengan hanya memakai satu khuf. Tiba-tiba Yahya bin Sa’id menegurku. Beliau berkata, “Janganlah engkau melakukan ini. Engkau seorang imam. Semua orang memerhatikan perbuatanmu.””

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A’lam an-Nubala’.

Amanah Berat

Seorang tokoh menanggung amanah yang cukup berat. Sama ada tokoh politik, tokoh agama, mahupun selebriti. Hal ini kerana akhlak masyarakat berada di tangan mereka.

Seorang tokoh ialah seorang trendsetter (pemula trend). Apa yang ia ucapkan selalu didengar. Apa yang ia lakukan selalu diikuti. Semakin terkenal tokoh itu, semakin berat amanah yang ditanggungnya.

Oleh itu, seorang tokoh mesti menyedari tugasan besar ini. Ia wajib menggunakan kelebihan yang dimiliki untuk membimbing umat, bukan untuk meyesatkan mereka. Ia mesti menggunakan populariti yang Allah Taala anugerahkan kepadanya untuk tujuan yang diredai Allah.

Salah satunya, dengan cara menunjukkan akhlak yang baik. Kata-kata dan perbuatannya mesti mencerminkan ajaran Islam.

Bahkan, seorang tokoh mesti selalu dalam kesempurnaan. Ia dituntut unuk selalu melakukan yang Sunnah seolah-olah wajib dan meninggalkan perkara yang makruh seolah-olah haram. Itulah yang cuba diingatkan oleh Yahya bin Sa’id kepada al-Laits bin Sa’ad.

Berjalan dengan satu kasut tidak haram, hanya makruh. Namun bagi seorang tokoh ikutan seperti al-Laits bin Sa’d, makruh semestinya dijauhi agar tidak mengelirukan masyarakat awam.

Bukan hanya haram dan makruh, seorang tokoh kadangkala mesti meninggalkan yang harus jika perbuatan itu boleh membawa kekeliruan.

Berkata Imam al-Syafie, “Andai aku tahu bahawa meminum air sejuk dapat merosakkan maruahku, aku tidak akan meminumnya.” Diriwayatkan al-Baihaqi dalam Manaqib al-Syafie.

Kesan Seorang Tokoh

Jika kita renungi, kebaikan dan keburukan yang dibuat seorang tokoh di depan khalayak bukan hanya untuk dirinya seorang. Akan tetapi, kesalahan iutu akan tersebar kepada lingkungan yang lebih luas. Tidak mustahil, kesalahan tersebut boleh menjadi suatu fenomena dalam masyarakat.

Pengalaman saya pernah mengingatkan seorang sahabat untuk meninggalkan suatu perbuatan bidaah. Bidaah itu buruk menurut kesepakatan ulama. Namun, ia enggan menerima ucapan saya dan menjawab, “Perbuatan ini dilakukan oleh ustaz polan.”

Lihatlah, bagaimana seorang tokoh meninggalkan kesan mendalam di hati para pengikutnya. Perbuatan mereka menjadi rujukan halal dan haram, walaupun keliru.

Menurut Ibnu ‘Abdil Barr, seorang tokoh ibarat kapal besar. Jika kapal ini bocor, maka ramai orang yang akan ikut tenggelam bersamanya.

Para Salaf Menjaga Mata Awam

Menyedari bebanan dan amanah besar ini, para ulama salaf kita tidak pernah menginginkan popularity. Mereka tidak berminat menjadi tokoh masyarakat, malah mereka lari daripada menjadi perhatian orang ramai.

Berkata Bisyr al-Hafi, “Setiap orang yang aku tahu ingin terkenal, maka hilang agamanya dan terhina.”

Semua ulama’ salaf yang terkenal ialah orang-orang yang membenci popularity. Namun kerana kejujuran mereka, Allah meninggikan nama mereka dan membuatnya masyhur dalam kalangan manusia. Tujuannya, agar orang awam boleh menimba ilmu daripada mereka dan meniru akhlak mereka.

Kerana itulah para ulama salaf sangat menjaga perilaku mereka di mata awam. Mereka selalu berhati-hati sebelum mengucapkan atau melakukan sesuatu. Bahkan mereka tetap menjaga diri dalam bergurau sekalipun.

Berkata Imam Abdurrahman bin Amr al-Auza’I, “Dahulu kami boleh tertawa dan bermain-main. Namun apabila kami menjadi tokoh ikutan, kami tidak lagi melihat perbuatan tersebut boleh dilakukan lagi, dan kami mesti berjaga-jaga.” Diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa an-Nihayah.

Setiap Kita adalah Tokoh

Demikianlah amanat besar yang ditanggung oleh seorang tokoh. Penjelasaan di atas bukan untuk tokoh-tokoh umat sahaja, malah untuk setiap daripada kita.

Hal ini demikian kerana setiap kita ialah tokoh pemimpin, sama ada di rumah, di sekolah mahupun di tempat kerja. Sedar ataupun tidak, perbuatan kita selalu diperhatikan oleh orang lain.

Bahkan seorang anak kecil seumur satu tahun selalu memerhatikan kebiasaan ibu bapanya. Seorang anak yang ayahnya merokok, hampir pasti menjadi perokok. Seorang anak yang ibu bapanya yang tidak solat, juga sangat sukar untuk mendirikan solat.

Menjadi kewajipan besar bagi seorang pemimpin untuk menjaga dirinya dan orang-orang yang berada di bawahnya.

Rasulullah Sollallahu Alaihi Wa Sallam bersabda :

Setiap daripada kamu ialah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang orang-orang yang dipimpinnya. (Riwayat Bukhari dari Abdullah Ibn Umar)

Semoga Allah memberi kita petunjuk agar dapat menjaga hukum-hakam-Nya dalam seluruh aspek kehidupan kita. Amin ya Rabbal ‘alamin.

 

Muhammad Abdul Aziz 
9 September 2019 | 10 Muharram 1441H
Madinah Munawwarah, Arab Saudi.

Kongsi artikel ini melalui : 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ABOUT

A Physiotherapist who currently pursuing second degree in Syariah at Islamic University of Medina, Saudi Arabia.

CONTACT ME

+96650 704 9230 | +6011 6505 4034 azizalmadini@gmail.com

Scroll to Top