Featured Image

Dari Kedah Ke Madinah

Sekitar awal bulan 5, waktu itu adalah hari-hari terakhir saya di UiTM Puncak Alam, sebelum menamatkan pengajian Fisioterapi di kampus tersebut. Ianya hari yang mendebarkan. Mana tidaknya, usai daripada latihan praktikal terakhir kami di hospital, tinggal satu lagi peperiksaan amali, yang akan menentukan, kami berjaya ataupun tidak dalam pengajian kami ini.

Saya sampai di UiTM Puncak Alam sekitar waktu Isyak, bersama sahabat sebilik dan sekelas saya waktu itu, Safwan daripada Kedah. Sampai di bilik, usai mengemas barang, terus kami meletakkan badan di atas katil, berehat untuk menempuh hari besar bagi kami. Malam itu sebelum tidur, saya terfikir,

“Apa yang aku nak buat lepas habis mengaji ni? Nak kerja fisio ke, nak buat bisnes ke, atau nak sambung belajar?”

Fikiran saya mengelamun, namun tidak berkesudahan dengan satu resolusi yang jelas. Namun yang pasti, esok adalah hari yang penting, kalau tidak kena ulang lagi satu sem untuk praktikal! Ah, masa tak akan menunggu kita. Gagal, bukan satu pilihan.

Esoknya, kami bergerak menuju ke Hospital Selayang dengan bas universiti. Sampai di Hospital Selayang, terus kami ditempatkan di satu tempat untuk kuarantin, dan menunggu giliran masing-masing untuk peperiksaan amali ini. Masa yang berbaki, digunakan sebaik mungkin ulang kaji secara cepat segala prosedur, teknik dan juga ilmu-ilmu anatomi.

“Muhammad Abdul Aziz, giliran anda sekarang.”

Mendengar nama dipanggil, segera saya capai segala peralatan dan keluar dari bilik kuarantin, mengikuti staff hospital menuju ke klinik fisioterapi. Sampai di klinik, saya terus diberikan report pesakit. Pesakit ini ialah pesakit baru. Saya membaca laporan doktor dengan tekun. Aduh, ini kes cervical spondylosis. Kes ini belum pernah saya ‘treat’ walaupun sekali sepanjang semua praktikal yang telah saya lalui sebelum ini.

Saya tak punya pilihan lain, melainkan saya kena merawat pesakit ini dengan memberikan rawatan yang sesuai dan tepat. Saya terus mulakan proses assessment pesakit dan kemudian memberikan rawatan, berdasarkan assessment yang telah saya buat. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar walaupun sedikit kekok pada awalnya. Usai dari itu, saya pun mengemas barang dan pulang ke tempat kuarantin semula.

Petang itu, lepas asar, kami pun pulang ke kampus. Segala perasaan cemas, berdebar hilang dan leganya saya waktu itu kerana secara tidak rasmi, tamatlah pengajian saya di UiTM. Namun, persoalan apakah langkah saya selepas ini, masih belum saya tetapkan secara jelas.

Pilihan Hidup

Awal tahun 2017, telah keluar banyak senarai nama pelajar Malaysia yang diterima masuk ke Universiti Islam Madinah, namun sayang sekali, nama saya tidak tersenarai. Rancangan saya waktu itu, saya akan buat permohonan baru, untuk mencuba lagi sekali.

Pada masa yang sama, saya juga merancang untuk sambung pengajian agama secara ‘part-time’ di Kuala Lumpur, tapi yang penting, saya perlu cari kerja. Namun, saya buntu, tempat manakah yang ada kerja dan jawatan fisioterapi yang boleh saya mohon? Pada masa yang sama, ada seorang rakan saya merancang untuk buat satu projek fertigasi cili dan dia mengajak saya menyertai projek itu sekali, sebelum saya dapat mana-mana kerja di hospital atau klinik swasta.

Saya teringat, bahawa senior saya di MRSM Taiping, Abg Taufik ada buat projek fertigasi cili di Melaka. Saya pun mengambil keputusan untuk ziarah Abg Taufik di Melaka sambil melihat sendiri, macam mana proses dan prosedur tanaman fertigasi cili ini.

Saya ada di Melaka 2 hari 1 malam, kemudian pulang ke KL. Dalam perjalanan pulang ke KL, saya terus merenung dan berfikir, apa yang saya nak buat lepas ni? Akhirnya waktu itu saya ambil keputusan untuk mencari kerja fisioterapi dan pada masa yang sama saya memohon untuk sambung belajar lagi di UiTM. Kalau dapat cari kerja, saya akan kerja. Kalau tak dapat, mungkin saya akan sambung belajar di UiTM. Tentang belajar agama, saya tekad akan mulakan dengan pengajian bahasa Arab secara menghadiri kelas-kelas formal hujung minggu. Itulah resolusi saya.

Pukul 5 petang, saya pun sampai di TBS.

Rezeki Yang Tak Diduga

Perut berasa lapar, saya pun naik ke tingkat 2 dan masuk ke dalam restoran Kenny Rogers. Membelek-belek menu, saya pesan ayam ‘quarter’. Entahlah kenapa saya memilih untuk makan di situ, mungkin kerana jarang-jarang makan ayam Kenny Rogers.

Sambil menunggu, tangan mencapai poket seluar, mengeluarkan smartphone. Ikon FB di paparan skrin telefon disentuh. Seperti kebiasaan orang lain, masa menunggu digunakan dengan bermain smartphone. Tiada notifications yang muncul, melainkan hanya memories of one year ago. Bosan. Ibu jari ligat ‘skroll’ news feed FB.

Sedang asyik saya skroll, saya ternampak updated status Persatuan Pelajar Arab Saudi (PERSADA) Cawangan Madinah. Tertulis di status itu :

“Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah.
Sukacita dimaklumkan bahawa kemaskini bertarikh 10 Mei 2017 merekodkan penambahan pelajar baru dari Malaysia seramai 12 orang.

Tahniah dan selamat datang diucapkan kepada empunya nama-nama yang telah diterima.

Justeru, kalian diminta memberi kerjasama menghubungi Exco Badan Pendataan dan Aset PERSADA ( Athil Md Zuri ) untuk penyelarasan urusan selanjutnya.

Senarai Nama Tambahan Pelajar Baru 2017.

Update – 10/5/2017.”

“Wah, ada nama baru naiklah. Untungnya siapa yang dapat,” bisik hati kecil saya. Ibu jari terus menekan butang “read more”. Terpaparlah nama 12 orang itu.

“1. MOHAMAD AMIRUL MUSTAQIM BIN MAZZLAN
2. MOHAMAD HAFIZ BIN AHMAD SUHAIMI
3. MOHAMMAD AFIFI BIN ZAKARIA
4. MUHAMAD ADIB BIN MOHAMED ASDI
5. MUHAMAD RIJALAFDULAH BIN MAT SANIN
6. MUHAMMAD ABDUL AZIZ BIN MAT YUSOF
7. MUHAMMAD AFIQ ARIFIN BIN RADUAN
8. MUHAMMAD AIMAN BIN MOHD SABRI
9. MUHAMMAD ANAS BIN MOHAMAD ZAID
10. MUHAMMAD ANAS BIN MOHD NOR
11. MUHAMMAD AZIM BIN MOHD SHUKRI
12. MUHAMMAD AZIQ BIN KAKADAR OTHMAN”

Mata saya berhenti di nombor 6.

“MUHAMMAD ABDUL AZIZ BIN MAT YUSOF” 

Lama saya memerhati. Saya memeriksa beberapa kali ejaanya. Ya! Sudah tidak syak lagi. Ini nama saya. Tanpa berlengah, saya terus menghantar mesej kepada Ustaz Athil, Exco PERSADA. Kemudian, saya terus telefon mak.

“Assalamualaikum mak.”

“Waalaikumussalam. Ya bejih.”

“Mak, mak. Bejih dapat masuk Universiti Islam Madinah mak. Baru tadi nama keluar. Nama pun ada di website Universiti,” semangat saya beritahu khabar gembira ni pada mak.

“Alhamdulillah. Jadi apa prosedur nak kena buat tu?”

“Sekarang baru tengah contact pihak persatuan pelajar. Insha-Allah nanti apa-apa diorang update.”

Dalam hidup saya, hari itu antara hari-hari bahagia saya yang saya tak akan lupa sampai bila-bila. Hati saya tekad, untuk tetap meneruskan cita-cita saya belajar di Universiti Islam Madinah, dan Alhamdulillah, Allah Taala kabulkan.

19 November 2017 Tarikh Keramat 

 

Picture in Post

19 November 2017, saya pun berangkat, berlepas menuju ke kota Nabi SAW, Madinah Munawwarah, dengan semangat dan azam yang tinggi untuk belajar ilmu agama, demi mengangkat kejahilan diri dan juga demi menyebarkan ilmu kepada ahli keluarga dan kaum kerabat. Sebelum masuk ke perut kapal terbang, saya menulis catatan, agar tarikh ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Saya menulis ini ketika sedang menunggu masuknya ke dalam perut kapal terbang.
Dahulu sebelum Tuhan menjemput untuk belajar di Bumi Madinah, setiap kali mendongak ke langit, saya akan bermonolog,
“Seperti apakah masa depan, Tuhan?”

Betapa, kalau saya diizinkan untuk menulis surat kepada seorang saya yang resah beberapa tahun sudah. Saya akan katakan semua akan baik-baik sahaja. Mesti seorang Aziz yang di tepi tingkap membaca buku dan menhirup secangkir teh itu tidak pernah terfikir dia akan pergi ke sana dalam keadaan sudah sempurna. Tidak ada cacat dan ralatnya.
Saya dijemput Tuhan dengan cara Dia mendidik saya agar bersabar. Sesuatu yang baik akan tiba pada masa yang tepat. Demikian Tuhan mengajar kita, di saat kita tak tahu apakah hamparan-hamparan masa hadapan, tapi kita tetap laluinya dengan cinta dan yakin kepada-Nya.
Dan kepada seorang Aziz yang akan datang. Jika FB memutarkan kembali ingatan di timeline ini untuk beberapa tahun akan datang. Semoga awak mengerti Tuhan akan sentiasa mendengar doa kita. Jika awak mempunyai sesuatu yang ingin awak kecapi, semoga awak tak akan berhenti. Dan Tuhan, semoga Tuhan akan mengizinkan setiap impian untuk diwujudkan.

Jalan Masih Panjang

Kini, hampir 2 tahun saya sudah berada di Madinah. Masih berbaki 1 sem, sebelum saya akan masuk ke peringkat pengajian yang lebih serius di universiti ini, iaitu kuliah. 2 tahun di Madinah, ada seribu satu kenangan dan memori telah tercipta, untuk diambil pengajaran.  Madinah itu, kata kekasih kita, Nabi SAW ialah baik untuk mereka, kalau mereka mengetahui.

Pengalaman dan pengajaran, akan diabadikan di blog ini, dengan harapan menjadi peringatan kepada saya terutamanya, juga kepada sahabat yang sudi singgah di teratak blog yang sederhana ini.

Kepada sahabat yang membaca, panjang-panjangkanlah doa anda yang soleh kepada saya, mudah-mudahan Allah terus memberi kekuatan dan panduan, dalam menyelesuri perjalanan menuntut ilmu agama ini.

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ.

Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju surga.” (HR. Muslim, no. 2699)

Akhukum,

Muhammad Abdul Aziz

1 September 2019 | 3 Muharram 1441H
Madinah Munawwarah

ABOUT

A Physiotherapist who currently pursuing second degree in Syariah at Islamic University of Medina, Saudi Arabia.

CONTACT ME

+96650 704 9230 | +6011 6505 4034 azizalmadini@gmail.com

Scroll to Top