Ibrah Surah Al-Kauthar

Pengenalan

Surah Al Kauthar adalah surah Makkiyyah iaitu diturunkan sebelum hijrah Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam. Surah ini mengandungi 3 ayat dan surah yang paling pendek dalam Al Quran.

Surah ini dinamakan Al-Kauthar kerana disebut dalam surah ini perkataan Al-Kauthar (الكوثر). Al-Kauthar ialah nama sebuah telaga di Hari Kiamat nanti yang diberikan kepada Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam dan umat baginda.

Dalam hadis sahih Muslim, dari Anas, ia berkata, “Suatu saat Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam di sisi kami dan saat itu beliau dalam keadaan tidur ringan (tidak nyenyak). Lantas beliau mengangkat kepala dan tersenyum. Kami pun bertanya, ‘Mengapa engkau tertawa, wahai Rasulullah?’ ‘Baru saja turun kepadaku suatu surat.’ Lalu baginda membaca,

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ

“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanm. Dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.” (Al-Kauthar: 1-3). Kemudian beliau berkata, ‘Tahukah kalian apa itu Al-Kauthar?’

‘Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui’, jawab kami. Rasulullah shallallahu  ‘alaihi wa sallam bersabda,

فَإِنَّهُ نَهْرٌ وَعَدَنِيهِ رَبِّى عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهِ خَيْرٌ كَثِيرٌ هُوَ حَوْضٌ تَرِدُ عَلَيْهِ أُمَّتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ آنِيَتُهُ عَدَدُ النُّجُومِ فَيُخْتَلَجُ الْعَبْدُ مِنْهُمْ فَأَقُولُ رَبِّ إِنَّهُ مِنْ أُمَّتِى. فَيَقُولُ مَا تَدْرِى مَا أَحْدَثَتْ بَعْدَكَ

“Al-Kauthar ialah sungai yang dijanjikan oleh Rabbku ‘azza wa jalla. Sungai tersebut memiliki kebaikan yang banyak. Ia adalah telaga yang nanti akan didatangi oleh umatku pada hari kiamat nanti. Gelas di telaga tersebut sejumlah bintang di langit. Namun ada dari sebahagian hamba yang tidak boleh minum dari telaga tersebut.  Allah berfirman: Tidakkah engkau tahu bahawa mereka telah berbuat bid’ah selepas dari kamu.” (HR. Muslim no. 400).

Di dalam hadis riwayat Ibn Umar, Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda :

حَوْضِي مَسِيرَةُ شَهْرٍ مَاؤُهُ أَبْيَضُ مِنْ اللَّبَنِ وَرِيحُهُ أَطْيَبُ مِنْ الْمِسْكِ وَكِيزَانُهُ كَنُجُومِ السَّمَاءِ مَنْ شَرِبَ مِنْهَا فَلَا يَظْمَأُ أَبَدًا

“Telagaku jauhnya sejauh perjalanan sebulan, airnya lebih putih daripada susu, dan baunya lebih wangi daripada Kasturi, dan cangkirnya bagaikan bintang di langit, siapa meminumnya maka ia tidak akan haus selama-lamanya.” (HR. Bukhari no. 6579).

Tadabbur

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

“Maka dirikanlah shalat karena Rabbmu; dan berqurbanlah.”

Dalam surah ini, selepas Allah telah menceritakan bahawa Allah telah mengurniakan kepada Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam sungai Al-Kauthar, Allah memerintahkan untuk bersolat dan berkorban. Faedah daripada surah ini antaranya ialah, hendaklah kita mensyukuri apa-apa kurniaan Allah itu dengan dua hal, iaitu:

  1. Ibadah Badaniyah

Mensyukuri nikmat Allah dengan melakukan ibadah yang menggunakan tenaga empat kerat seperti solat dan juga puasa.

 

  1. Ibadah Maaliyah

Ibadah yang menggunakan harta seperti zakat dan sedekah.

Sahabat,

Berapa banyak nikmat yang Allah Taala telah bagi kepada kita daripada nikmat dunia dan akhirat, yang kadang-kadang kita tidak memintanya, tetapi Allah berikan pada kita. Betapa banyak juga perkara yang kita minta, Allah berikan pada kita, dan bahkan Allah memberikan lebih dari apa yang kita minta. Allah memberikan kita nikmat Islam, nikmat keamanan negara, nikmat rumah, nikmat isteri dan keluarga, nikmat ilmu dan nikmat kesihatan. Kesemuanya itu, hendaklah kita mensyukurinya dengan memperbanyakkan ibadah-ibadah nawafil (sunat) seperti solat malam dan juga sedekah.

Rezeki dan kekayaan yang kita miliki, kita infaqkan sebahagiannya pada jalan Allah. Tubuh badan yang sihat, kita gunakan untuk beribadah kepada Allah, dengan mendirikan solat malam dan puasa.

Solat & Korban

Mengapakah Allah Taala menyebut ibadah solat dan korban? Seperti yang tersebut dalam kitab-kitab sirah, masyarakat Arab Jahiliah dahulu, mereka bukan tidak mengenal Allah. Mereka mengenal Allah, namun mereka mensyirikkan-Nya. Oleh kerana itulah, Allah Taala telah menyebut dua ibadah besar ini, kerana dua ibadah inilah mereka telah mencemarinya dengan syirik. Mereka berdoa kepada berhala, bukan kepada Allah, dan mereka berkorban kepada berhala, bukan kerana Allah.

Ibadah korban ialah ibadah yang besar. Dan pada hari Aidil Adha, ibadah yang sangat utama untuk dilakukan pada hari itu ialah ibadah korban. Pada masa yang sama, ibadah ini jugalah ibadah yang mudah untuk kita rosakkanya dengan riyak. Maka kerana itulah, Allah berfirman, “dan tunaikanlah solat dan korban untuk TUHANMU!”

Bukanlah Yang Terputus Itu Pada Keturunan

 

إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ

“Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.”

الْأَبْتَرُ ialah mereka yang terputus daripada segala kebaikan, amal dan sebutan orang selepasnya (As Sa’adi).

Surah ini diakhiri dengan Allah s.w.t menempelak golongan yang membenci Nabi s.a.w dan mendakwa baginda telah terputus keturunan diatas kematian anaknya. Lalu Allah s.w.t menjelaskan bahawa mereka yang membenci itulah sebenarnya terputus sekalipun mereka mempunyai anak yang ramai tetapi mereka terputus dari mendapat rahmat Allah. Mereka itulah Al-Abtar! Sedangkan Baginda Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam walaupun kematian anak lelakinya tetapi Baginda Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam diberikan kurniaan dan nikmat yang banyak disisi Allah, nama Baginda Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam disebut-sebut sehingga kini dan perjuangan dakwah Islam itu tersebar ke seluruh dunia seperti yang kita nampak pada hari ini.

Apa yang kita boleh ambil pengajaran daripada ayat ini ialah, hendaklah kita berusaha meninggalkan legasi agama dan dakwah di dunia ini. Banyak legasi dakwah yang kitab oleh tinggalkan, seperti membina pusat pengajian dan mewaqafkan kepada kaum Muslimin, menulis buku, menyampaikan ilmu yang bermanfaat dan mempersiapkan anak dan generasi kita menjadi kader dakwah. Bukanlah terputus itu pada nasab dan keturunan, sebaliknya terputus legasi dakwah dan perjuangan. Apalah guna keturunan yang ramai, namun tidak memberi sumbangan pada perjuangan dakwah ini.

Keindahan Surah Al-Kauthar

Kata Az-Zarkasyi rahimahullah, di antara keindahan Surah Al-Kauthar ialah ia seolah-olah perbandingan dengan surah sebelumnya (Surah Al-Ma’un), kerana pada Surah Al-Ma’un Allah telah mensifatkan orang Munafiq dengan empat perkara iaitu :

  1. Bakhil
  2. Meninggalkan solat
  3. Solat dan riya’ ketika mendirikan solat
  4. Tidak memberi sedekah

Kemudian, pada surah Al-Kauthar, terdapat sifat-sifat baik yang menjadi lawan kepada sifat-sifat ini tadi :

Maka, disebut sifat yang berlawanan dengan bakhil ialah إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ, iaitu pemberian.

Berlawanan dengan sifat tinggalkan solat disebut pada فَصَلِّ, yakni dirikanlah solat.

Berlawanan dengan sifat riyak disebut pada لِرَبِّكَ, yakni kerana redha Allah, bukan kerana redha manusia.

Berlawanan dengan sifat tidak memberi sedekah disebut pada وَانْحَرْ , yakni berilah daging korban dengan santun.

Mudah-mudahan Allah Taala menjadikan kita antara mereka yang dapat meminum air daripada Sungai Al-Kauthar, orang yang bersolat dan bersedekah dan menjauhkan kita daripada termasuk dalam golongan Al-Abtar. Ameen.

Muhammad Abdul Aziz
16 November 2019 | 19 Rabiul Awal 1441H
Madinah Munawwarah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ABOUT

A Physiotherapist who currently pursuing second degree in Syariah at Islamic University of Medina, Saudi Arabia.

CONTACT ME

+96650 704 9230 | +6011 6505 4034 azizalmadini@gmail.com

Scroll to Top