10 Maqasid dan Rahsia Ibadah Haji Menurut al-Quran
Hati-hati manusia sentiasa rindu dan jiwa-jiwa sentiasa mengimpikan untuk menunaikan haji ke Baitullah al-‘Atiq pada setiap tahun, khususnya pada waktu-waktu seperti ini. Setiap Muslim pasti berharap untuk memperoleh kemuliaan menziarahi Baitullah, mengharapkan keampunan, serta menyahut seruan Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah Taala untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Allah Taala berfirman:
Oleh Aziz Madani · 20 min read
Isi Kandungan
Pengenalan
Hati-hati manusia sentiasa rindu dan jiwa-jiwa sentiasa mengimpikan untuk menunaikan haji ke Baitullah al-‘Atiq pada setiap tahun, khususnya pada waktu-waktu seperti ini. Setiap Muslim pasti berharap untuk memperoleh kemuliaan menziarahi Baitullah, mengharapkan keampunan, serta menyahut seruan Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah Taala untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Allah Taala berfirman:
“Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang setiap unta yang kurus, yang datang dari segenap jalan yang jauh.”
[Al-Hajj: 27]
Fardu haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang paling agung dan paling tinggi kedudukannya. Buktinya, Allah Taala menyebut tentang haji di beberapa tempat dalam kitab-Nya yang mulia. Haji disebut dalam Surah al-Baqarah, Surah Ali ‘Imran, Surah al-Ma’idah, Surah al-Tawbah dan Surah al-Hajj. Surah al-Hajj merupakan satu-satunya surah yang dinamakan sempena salah satu rukun Islam.
Allah Taala juga telah menghuraikan dalam al-Quran tentang amalan-amalan haji dengan perincian yang tidak diberikan kepada ibadah-ibadah yang lain. Jika perkara ini menunjukkan sesuatu, maka ia menunjukkan perhatian Allah yang besar terhadap rukun ini serta kedudukannya yang tinggi di sisi-Nya.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn ‘Ashur RA:
وقد ظهرت عناية الله تعالى بهذه العبادة العظيمة، إِذْ بسط تفاصيلها وأحوالها مع تغيير ما أدخله أهل الجاهلية فيها [1]
Maksud: “Sesungguhnya perhatian Allah Taala terhadap ibadah yang agung ini jelas terserlah apabila Dia menghuraikan secara terperinci perkara-perkara dan keadaan-keadaannya, di samping mengubah perkara-perkara yang telah dimasukkan oleh golongan Jahiliah ke dalamnya.”
Orang yang mentadabburi perbincangan al-Quran tentang haji akan mendapati sejumlah maqasid dan rahsia yang sepatutnya diberi perhatian oleh seorang Muslim, khususnya oleh jemaah haji. Hal ini kerana memahami maqasid, rahsia dan hikmah sesuatu ibadah banyak membantu dalam mengagungkan ibadah tersebut serta menghadirkan hati ketika melaksanakannya.
Sudah mula berbondong-bondong manusia ke sana. Membawa hati yang lara mencari cinta. Walaupun tanahnya gersang, tetapi hati manusia yang menuju ke sana sentiasa basah dengan rindu dan cumbu. Kami data…
Kuasa belum tentu menjamin tertegaknya hukum-hakam Allah. Kuasa hanyalah alat untuk menegakkan hukum Allah dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, tidak sedikit keadaan di mana kuasa disalahgunakan apabila seseorang berada di puncak. Bahkan, kuasa yang dicapai juga belum tentu membawa pertolongan kepada perkembangan dakwah sekiranya tidak disertai dengan amanah, hikmah dan tarbiah.
Antara perkara yang melemahkan kesan haji dalam jiwa sebahagian umat Islam ialah terlalu banyak memberi perhatian kepada aspek fiqah dalam pelaksanaannya, sedangkan aspek maqasidi bagi fardu yang agung ini kurang diberi perhatian dan ditadabburi.
Maka, marilah kita wahai pembaca yang budiman mengenali sebahagian daripada maqasid haji berdasarkan perbincangan al-Quran al-Karim tentangnya. [2]
Maqsad Pertama: Merealisasikan Tauhid dan Keikhlasan kepada Allah Azza wa Jalla
Allah Azza wa Jalla tidak memerintahkan Ibrahim AS membina Baitullah melainkan untuk merealisasikan tauhid kepada-Nya. Hal ini jelas terlihat melalui perintah membina Baitullah yang disertai dengan larangan daripada syirik serta usaha membersihkan Baitullah daripada segala bentuknya.
Maksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).” [Al-Hajj:26]
Adapun dalam merealisasikan keikhlasan, ia merupakan hasil tauhid yang paling agung. Allah Azza wa Jalla telah mengingatkan hamba-hamba-Nya tentang keperluan merealisasikan keikhlasan dalam ibadah haji. Allah Taala berfirman:
﴿وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ﴾
Maksud:“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”[al-Baqarah: 196]
Syeikh al-Qasimi RA berkata dalam tafsir ayat ini:
«أي: أدّوهما تامَّين بمناسكهما المشروعة لوجه الله تعالى» [3]
Maksud: “Iaitu, tunaikanlah kedua-duanya dengan sempurna berserta manasik yang disyariatkan, semata-mata kerana mengharapkan wajah Allah Taala.”
Al-Raghib pula menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i RA:
وإنما قال في الحج والعمرة {لله} ولم يقل ذلك في الصلاة والزكاة؛ من أجل أنهم كانوا يتقربون ببعض أفعال الحج والعمرة إلى الأصنام، فخصهما بالذّكر لله تعالى حثًّا على الإخلاص فيهما ومجانبة ذلك الاعتقاد المحظور [4]
Maksud: “Sesungguhnya Allah menyebut pada haji dan umrah ‘kerana Allah’ dan tidak menyebut perkara yang sama pada solat dan zakat kerana mereka dahulu mendekatkan diri kepada berhala melalui sebahagian amalan haji dan umrah. Oleh itu, kedua-duanya dikhususkan dengan penyebutan ‘kerana Allah’ sebagai galakan supaya ikhlas dalam kedua-duanya serta menjauhi kepercayaan yang dilarang tersebut.”
Imam al-Ghazali RA menasihati jemaah haji supaya ikhlas dan memberi amaran daripada riak serta mencari kemasyhuran. Beliau berkata:
ليجعل عزمه خالصًا لوجه الله -سبحانه- بعيدًا عن شوائب الرياء والسمعة، وليتحقق أنه لا يقبل من قصده وعمله إلا الخالص، وإنّ مِن أفحش الفواحش أنْ يقصد بيت الله وحرمه والمقصود غيره، فليصحّح مع نفسه العزم وتصحيحه بإخلاصه، وإخلاصه باجتناب كلّ ما فيه رياء وسمعة، فليحذَر أن يستبدل الذي هو أدنى بالذي هو خير [5]
Maksud: “Hendaklah dia menetapkan niatnya semata-mata kerana mengharapkan wajah Allah Taala, jauh daripada segala campuran riak dan mencari kemasyhuran. Hendaklah dia benar-benar menyedari bahawa Allah tidak menerima daripada tujuan dan amalannya melainkan yang ikhlas. Sesungguhnya antara perbuatan yang paling keji ialah seseorang menuju Baitullah dan tanah sucinya sedangkan tujuannya adalah kepada selain Allah. Maka hendaklah dia membetulkan niatnya. Membetulkan niat adalah dengan mengikhlaskannya, dan keikhlasan itu adalah dengan menjauhi segala perkara yang mengandungi riak dan mencari kemasyhuran. Oleh itu, hendaklah dia berhati-hati daripada menukar sesuatu yang lebih baik dengan sesuatu yang lebih rendah.”
Maqsad Kedua: Merealisasikan Makna Penghambaan dan Ketundukan kepada Allah Taala
Hal ini jelas terlihat ketika jemaah haji menyahut seruan untuk melaksanakan fardu ini, memakai pakaian ihram, melakukan tawaf di Kaabah, bersa‘i antara Safa dan Marwah serta berwuquf di Arafah.
Dia melakukan semua amalan tersebut dalam keadaan tunduk kepada perintah Allah Azza wa Jalla dan mengikuti Rasulullah SAW. Sekalipun hikmah dan maqasid di sebalik amalan-amalan tersebut tidak diketahui olehnya, dia tetap menyedari bahawa dirinya ialah seorang hamba yang tunduk kepada perintah Tuannya.
Imam al-Ghazali RA berkata tentang amalan-amalan haji:
بمثل هذه الأعمال يظهر كمال الرِّق والعبودية، فإنّ الزكاة إرفاقٌ ووجهه مفهوم وللعقل إليه مَيل، والصوم كسرٌ للشهوة التي هي آلة عدوّ الله وتفرّغ للعبادة بالكفّ عن الشواغل، والركوع والسجود في الصلاة تواضع لله -عز وجل- بأفعال هي هيئة التواضع وللنفوس أُنْس بتعظيم الله عز وجل؛ فأمّا ترددات السعي ورمي الجمار وأمثال هذه الأعمال فلا حظَّ للنفوس ولا أُنس فيها، ولا اهتداء للعقل إلى معانيها، فلا يكون في الإقدام عليها باعثٌ إلا الأمر المجرد، وقَصْد الامتثال للأمر من حيث إنه أمرٌ واجبُ الاتِّباع فقط، وفيه عزلٌ للعقل عن تصرّفه، وصرف النفس والطبع عن محل أُنسه؛ فإنّ كلّ ما أدرك العقل معناه مالَ الطبع إليه ميلًا ما، فيكون ذلك الميل مُعِينًا للأمر وباعثًا معه على الفعل، فلا يكاد يظهر به كمال الرِّق والانقياد، ولذلك قال -صلى الله عليه وسلم- في الحج على الخصوص: (لبَّيك بحَجَّةٍ حقًّا؛ تعبُّدًا ورِقًّا)، ولم يقل ذلك في صلاة ولا غيرها [6]
Maksud:“Melalui amalan-amalan seperti inilah kesempurnaan penghambaan dan ubudiah terserlah. Zakat merupakan satu bentuk pemberian ihsan yang tujuannya dapat difahami dan akal cenderung kepadanya. Puasa pula merupakan usaha menundukkan syahwat yang menjadi alat bagi musuh Allah serta melapangkan diri untuk beribadah dengan meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan. Rukuk dan sujud dalam solat pula merupakan bentuk merendah diri kepada Allah Azza wa Jalla melalui perbuatan yang menggambarkan kerendahan diri, dan jiwa sememangnya merasa senang dengan mengagungkan Allah Azza wa Jalla.
“Adapun berulang-alik dalam sa‘i, melontar jamrah dan amalan-amalan seumpamanya, maka jiwa tidak mendapat bahagian dan tidak berasa kesenangan padanya, manakala akal pula tidak mendapat petunjuk untuk memahami makna-maknanya. Oleh itu, tidak ada dorongan untuk melaksanakannya melainkan perintah semata-mata dan keinginan untuk mematuhi perintah hanya kerana ia merupakan perintah yang wajib diikuti.
“Dalam hal ini, akal diketepikan daripada menentukan sesuatu dan jiwa serta tabiat dialihkan daripada perkara yang menjadi tempat kesenangannya. Sesungguhnya setiap perkara yang dapat difahami oleh akal maknanya akan menyebabkan tabiat cenderung kepadanya. Kecenderungan tersebut akan membantu perintah dan menjadi pendorong untuk melakukannya. Dengan demikian, kesempurnaan penghambaan dan ketundukan tidak begitu terserlah.
“Oleh sebab itu, Rasulullah SAW secara khusus menyebut tentang haji: ‘Aku menyahut seruan-Mu dengan haji yang sebenar, sebagai ibadah dan penghambaan.’ Baginda tidak menyebut perkara tersebut dalam solat atau ibadah yang lain.”
Maqsad Ketiga: Membersihkan Jiwa daripada Akhlak yang Tercela
Allah Taala melarang jemaah haji daripada melakukan perbuatan keji, mencaci, melakukan perkara sia-sia, berdebat dan bertengkar. Allah Taala berfirman:
Maksud:“Maka sesiapa yang telah menetapkan niatnya untuk mengerjakan haji pada bulan-bulan tersebut, maka tidak boleh melakukan rafath, perbuatan fasik dan pertengkaran dalam masa mengerjakan haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan, Allah mengetahuinya.” [al-Baqarah: 197]
Hal ini bertujuan untuk mengagungkan ibadah haji pada satu sisi, dan supaya seorang Muslim membiasakan dirinya menjauhi akhlak-akhlak tercela tersebut selepas haji pada sisi yang lain. Ini kerana akhlak-akhlak tersebut tetap tercela pada setiap masa dan tempat.
Syeikh al-Sa‘di RA berkata:
يجب أن تعظّموا الإحرام بالحج، وتصونوه عن كلّ ما يفسده أو ينقصه، من الرفث وهو: الجماع ومقدماته الفعلية والقولية، خصوصًا عند النساء بحضرتهن، والفسوق وهو: جميع المعاصي، ومنها محظورات الإحرام، والجدال وهو: المماراة والمنازعة والمخاصمة، لكونها تثير الشرّ وتُوقِع العداوة، والمقصود من الحج الذلّ والانكسار لله، والتقرب إليه بما أمكن من القربات، والتنزه عن مقارفة السيئات؛ فإنه بذلك يكون مبرورًا، والمبرور ليس له جزاء إلّا الجنة، وهذه الأشياء وإن كانت ممنوعة في كلّ مكان وزمان، فإنها يتغلّظ المنع عنها في الحج. [7]
Maksud:“Kamu wajib mengagungkan ihram haji dan menjaganya daripada segala perkara yang merosakkan atau mengurangkannya, iaitu rafath yang bermaksud persetubuhan serta pendahuluannya sama ada dalam bentuk perbuatan atau perkataan, khususnya apabila bersama kaum wanita; fasik yang merangkumi semua maksiat, termasuk perkara-perkara yang dilarang ketika ihram; dan jidal yang bermaksud perdebatan, perselisihan dan pertengkaran kerana ia mencetuskan keburukan dan menyebabkan permusuhan.
“Tujuan haji ialah merendahkan dan meruntuhkan diri di hadapan Allah, mendekatkan diri kepada-Nya dengan segala bentuk ketaatan yang mampu dilakukan serta menjauhkan diri daripada melakukan keburukan. Dengan demikian, haji seseorang menjadi haji yang mabrur. Dan haji yang mabrur tidak mempunyai balasan melainkan syurga.
“Walaupun perkara-perkara ini dilarang pada setiap tempat dan masa, larangan terhadapnya menjadi lebih berat ketika menunaikan haji.”
Maqsad Keempat: Mengingatkan tentang Kepentingan Membuat Persiapan untuk Akhirat
Allah Taala mengingatkan jemaah haji yang menyediakan bekalan dunia yang mencukupi untuk perjalanan mereka agar dapat sampai ke destinasi dengan selamat supaya tidak melupakan persiapan bekalan untuk negeri akhirat.
Sebaik-baik bekalan bagi perjalanan menuju negeri akhirat ialah ketakwaan kepada-Nya, iaitu dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat serta segala keburukan. Allah Taala berfirman:
Maksud:“Dan sediakanlah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal yang sempurna.” [al-Baqarah: 197]
Ibn al-Qayyim RA berkata:
أمر الحاج بأن يتزودوا لسفرهم، ولا يسافروا بغير زاد، ثم نبههم على زاد سفر الآخرة، وهو التقوى، فكما أنه لا يصل المسافر إلى مقصده إلا بزاد يبلغه إياه، فكذلك المسافر إلى الله تعالى والدار الآخرة لا يصل إلّا بزاد من التقوى، فجمع بين الزادَين. [8]
Maksud:“Allah memerintahkan jemaah haji supaya menyediakan bekalan untuk perjalanan mereka dan tidak melakukan perjalanan tanpa bekalan. Kemudian Allah mengingatkan mereka tentang bekalan bagi perjalanan menuju akhirat, iaitu ketakwaan.
“Sebagaimana seorang musafir tidak akan sampai ke destinasinya melainkan dengan bekalan yang membawanya ke sana, demikian juga orang yang berjalan menuju Allah Taala dan negeri akhirat tidak akan sampai melainkan dengan bekalan ketakwaan. Maka Allah menghimpunkan kedua-dua jenis bekalan tersebut.”
Maqsad Kelima: Menggalakkan Pengagungan terhadap Syiar-syiar Allah Taala
Syiar-syiar Allah ialah tanda-tanda agama-Nya yang zahir serta perintah dan larangan-Nya yang dengannya kita beribadah.
Mengagungkan syiar-syiar ini merupakan tanda kedekatan seorang hamba dengan Tuhannya dan bukti yang jelas terhadap ketakwaannya. Ia juga merupakan salah satu maqasid haji yang agung.
Apabila seorang Muslim membiasakan dirinya mengagungkan syiar-syiar Allah yang terzahir melalui amalan-amalan haji seperti tawaf, wuquf di Arafah, melontar jamrah, menyembelih hadyu dan sebagainya, perkara tersebut akan mendidik dirinya untuk mengagungkan perintah Allah dan bertakwa kepada-Nya pada setiap masa.
Oleh sebab itu, Allah Taala berfirman pada penghujung perbincangan tentang amalan-amalan haji:
Maksud: “Demikianlah. Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya perbuatan itu lahir daripada ketakwaan hati.” [ al-Hajj: 32]
Maqsad Keenam: Menyeimbangkan antara Maslahat Dunia dan Akhirat
Menyeimbangkan antara maslahat dunia dan maslahat akhirat merupakan antara keindahan Islam dan maqasidnya. Perkara ini jelas terlihat dalam banyak syariat dan ibadah, termasuklah ibadah haji.
Allah Taala membenarkan jemaah haji menghimpunkan antara pelaksanaan manasik dengan aktiviti perniagaan dan mencari rezeki, dengan syarat perkara tersebut tidak menjejaskan tujuan asal, iaitu ibadah.
Maksud: “Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat bagi mereka dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan.” [al-Hajj: 28]
Syeikh al-Sa‘di RA berkata:
أخبر تعالى أن ابتغاء فضل الله بالتكسّب في مواسم الحج وغيره، ليس فيه حرج إذا لم يشغل عما يجب إذا كان المقصود هو الحج، وكان الكسب حلالًا منسوبًا إلى فضل الله، لا منسوبًا إلى حذق العبد، والوقوف مع السبب، ونسيان المسبِّب، فإنّ هذا هو الحرج بعينه. [9]
Maksud: “Allah Taala memberitahu bahawa mencari limpah kurnia Allah dengan bekerja dan mencari pendapatan pada musim haji dan selainnya tidaklah menjadi suatu kesalahan, selagi ia tidak menghalang daripada perkara yang wajib, apabila tujuan utamanya ialah haji, dan pendapatan tersebut diperoleh melalui cara yang halal serta dinisbahkan kepada kurniaan Allah, bukan kepada kehebatan seseorang hamba semata-mata, dengan hanya bergantung kepada sebab dan melupakan Musabbib (Pencipta sebab). Sesungguhnya perkara seperti inilah yang sebenarnya merupakan kesalahan.”
Maqsad Ketujuh: Menghubungkan Hati Muslim dengan Zikrullah
Zikir merupakan antara ibadah yang paling dicintai oleh Allah Taala dan paling besar pahalanya. Allah menghubungkan zikir dengan banyak ibadah, dan antara yang paling menonjol ialah ibadah haji.
Hal ini jelas melalui kaitan al-Quran antara perbincangan tentang manasik haji dengan zikrullah di banyak tempat. Allah Taala berfirman:
Maksud: “Kemudian apabila kamu bertolak dari Arafah, maka berzikirlah kepada Allah di al-Masy‘ar al-Haram, dan berzikirlah kepada-Nya sebagaimana Dia telah memberi petunjuk kepada kamu, dan sesungguhnya kamu sebelum itu benar-benar termasuk dalam kalangan orang-orang yang sesat. Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai dan mohonlah keampunan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kemudian apabila kamu telah menyelesaikan manasik kamu, maka berzikirlah kepada Allah sebagaimana kamu menyebut-nyebut nenek moyang kamu, bahkan dengan zikir yang lebih banyak.” [al-Baqarah:198-200]
Maksud: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang setiap unta yang kurus, yang datang dari segenap jalan yang jauh; supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat bagi mereka dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan.” [al-Hajj:27-28]
Ibn al-Qayyim RA berkata tentang zikir:
بل هو رُوح الحج ولبُّه ومقصوده، كما قال النبي -صلى الله عليه وسلـم-: «إنما جعل الطواف بالبيت والسعي بين الصفا والمروة ورمي الجمار لإقامة ذكر الله [10]
Maksud: “Bahkan zikir merupakan roh, inti dan tujuan haji, sebagaimana sabda Nabi SAW: ‘Sesungguhnya tawaf di Baitullah, sa‘i antara Safa dan Marwah serta melontar jamrah dijadikan untuk menegakkan zikrullah.’”
Sesiapa yang membiasakan dirinya berzikir kepada Allah ketika tawaf, ketika sa‘i, ketika melontar jamrah, ketika wuquf di Arafah, ketika menyembelih hadyu dan pada semua tempat tersebut, maka sukar baginya untuk mengeringkan lidah daripada zikir selepas selesai menunaikan haji. Dia telah merasai kemanisan zikir dan hatinya telah terpaut kepada Allah yang sentiasa disebut-Nya.
Maqsad Kelapan: Menegaskan Semangat Persamaan antara Manusia
Islam merupakan agama persamaan. Hal ini jelas terlihat dalam perhimpunan manusia untuk solat dan perhimpunan mereka untuk menunaikan haji. Orang kaya berdiri di samping orang miskin, orang Arab berdiri di samping orang bukan Arab, semuanya berada di satu tempat dengan pakaian yang sama, berbeza dengan keadaan yang diamalkan oleh masyarakat Jahiliah.
Maksud: “Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai dan mohonlah keampunan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [al-Baqarah: 199]
Pengarang Fi Zilal al-Quran berkata dalam tafsir ayat ini:
قِفُوا معهم حيث وَقَفوا، وانصرِفوا معهم حيث انصرَفوا، إنّ الإسلام يعرف نَسبًا، ولا يعرف طبقةً، إنّ الناس كلّهم أمة واحدة، سواسية كأسنان المشط، لا فضل لأحد على أحد إلا بالتقوى، ولقد كلَّفهم الإسلام أن يتجرّدوا في الحج من كلّ ما يميزهم من الثياب، ليلتقوا في بيت الله إخوانًا متساوِين، فلا يتجرّدوا من الثياب ليتخايلوا بالأنساب، ودعوا عنكم عصبية الجاهلية، وادخلوا في صبغة الإسلام، هكذا يقيم الإسلام سلوك المسلمين في الحج، على أساس من التصوّر الذي هدى البشرية إليه، أساس المساواة، وأساس الأمة الواحدة التي لا تفرقها طبقة، ولا يفرقها جنس، ولا تفرقها لغة، ولا تفرقها سمة من سمات الأرض جميعًا، وهكذا يردُّهم إلى استغفار الله من كلّ ما يخالف عن هذا التصوّر النظيف الرفيع. [11]
Maksud:“Berdirilah bersama mereka di tempat mereka berdiri dan bertolaklah bersama mereka di tempat mereka bertolak. Sesungguhnya Islam tidak mengenal keturunan sebagai ukuran kemuliaan dan tidak mengenal kelas. Semua manusia ialah satu umat, sama rata seperti gigi-gigi sikat. Tidak ada kelebihan seseorang atas seseorang yang lain kecuali dengan ketakwaan.
“Islam telah mewajibkan mereka menanggalkan ketika haji segala pakaian yang membezakan mereka, agar mereka bertemu di Baitullah sebagai saudara yang sama rata. Mereka tidak menanggalkan pakaian untuk bermegah-megah dengan keturunan. Tinggalkanlah daripada kamu semangat fanatik Jahiliah dan masuklah ke dalam acuan Islam.
“Demikianlah Islam membentuk tingkah laku umat Islam ketika haji berdasarkan suatu gambaran kehidupan yang telah ditunjukkan kepada manusia: asas persamaan dan asas satu umat yang tidak dipisahkan oleh kelas, bangsa, bahasa atau apa-apa ciri duniawi.
“Demikianlah Islam mengembalikan mereka kepada istighfar kepada Allah daripada segala perkara yang bercanggah dengan gambaran yang bersih dan tinggi ini.”
Antara perkara yang menunjukkan hal tersebut juga ialah Allah Taala memerintahkan mereka supaya menyibukkan diri dengan zikrullah dan bukannya berbangga dengan ibu bapa serta nenek moyang. Allah Taala berfirman:
Terjemahan: “Kemudian apabila kamu telah menyelesaikan manasik kamu, maka berzikirlah kepada Allah sebagaimana kamu menyebut-nyebut nenek moyang kamu, bahkan dengan zikir yang lebih banyak.”
Imam al-Tabari RA berkata:
قال بعضهم: كان القوم في جاهليتهم بعد فراغهم من حجهم ومناسكهم يجتمعون فيتفاخرون بمآثر آبائهم، فأمرهم الله في الإسلام أن يكون ذكرهم بالثناء والشكر والتعظيم لربهم دون غيره، وأن يلزموا أنفسهم من الإكثار من ذكره، نظير ما كانوا ألزموا أنفسهم في جاهليتهم من ذكر آبائهم. [12]
Maksud: “Sebahagian ulama berkata: Dahulu, setelah selesai menunaikan haji dan manasik, masyarakat pada zaman Jahiliah akan berkumpul lalu berbangga-bangga dengan jasa dan kehebatan nenek moyang mereka. Maka Allah memerintahkan mereka dalam Islam agar zikir mereka berupa pujian, kesyukuran dan pengagungan kepada Tuhan mereka, bukan kepada selain-Nya. Mereka juga diperintahkan supaya memperbanyakkan zikir kepada-Nya, sebagaimana dahulu mereka membiasakan diri memperbanyakkan sebutan tentang nenek moyang mereka pada zaman Jahiliah.”
Maqsad Kesembilan: Mendidik Muslim supaya Tepat dan Berdisiplin
Hal ini terlihat melalui penetapan waktu-waktu dan tempat-tempat tertentu bagi ibadah haji.
Waktu-waktu haji ialah bulan-bulan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala untuk melaksanakan haji. Allah Taala juga menetapkan waktu tertentu untuk wuquf di Arafah. Jika waktu tersebut dilepasi oleh jemaah haji, maka hajinya terbatal. Begitu juga waktu untuk melontar jamrah telah ditetapkan.
Allah Taala berfirman:
﴿الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ﴾
Maksud: “Musim haji itu ialah beberapa bulan yang telah dimaklumi.” [al-Baqarah: 197]
Syeikh al-Sa‘di RA berkata:
يخبر تعالى أن الحج واقع في أشهر معلومات عند المخاطبين، مشهورات، بحيث لا تحتاج إلى تخصيص، كما احتاج الصيام إلى تعيين شهره، وكما بين تعالى أوقات الصلوات الخمس، وأما الحج فقد كان من ملة إبراهيم، التي لم تزل مستمرة في ذريته معروفة بينهم، والمراد بالأشهر المعلومات عند جمهور العلماء: شوال، وذو القعدة، وعشر من ذي الحجة، فهي التي يقع فيها الإحرام بالحج غالبًا. [13]
Maksud: “Allah Taala memberitahu bahawa haji dilaksanakan pada bulan-bulan yang telah diketahui oleh orang yang ditujukan ayat ini dan telah masyhur, sehingga tidak memerlukan penetapan khusus sebagaimana puasa memerlukan penetapan bulannya dan sebagaimana Allah menjelaskan waktu-waktu solat lima waktu.
“Adapun haji, ia telah menjadi sebahagian daripada agama Ibrahim yang sentiasa diamalkan oleh keturunannya dan diketahui dalam kalangan mereka. Menurut jumhur ulama, yang dimaksudkan dengan bulan-bulan yang telah diketahui tersebut ialah Syawal, Zulqaedah dan sepuluh hari daripada Zulhijah. Inilah bulan-bulan yang biasanya seseorang berihram untuk haji.”
Adapun miqat-miqat makani, ia merupakan tempat-tempat yang telah ditetapkan oleh Nabi SAW untuk berihram. Apabila jemaah haji melewati tempat-tempat tersebut, dia disyariatkan untuk memakai pakaian ihram dan meninggalkan beberapa perkara yang sebelum ihram adalah dibenarkan baginya.
Miqat-miqat dari segi masa dan tempat ini merupakan satu bentuk latihan praktikal bagi seorang Muslim untuk membiasakan dirinya dengan ketepatan dan disiplin dalam segala urusannya selepas selesai menunaikan haji.
Maqsad Kesepuluh: Menegaskan Kesatuan dan Perhimpunan Umat
Antara maqasid haji ialah menegaskan kesatuan umat, mengukuhkan hubungan sesama mereka serta menghidupkan makna persaudaraan iman. Ini merupakan antara manfaat terbesar yang diperoleh oleh jemaah haji daripada musim haji.
Perhimpunan umat Islam dalam jumlah yang sangat besar, dengan perbezaan rupa dan bahasa mereka, namun semuanya bersatu dalam mentauhidkan Allah dan beribadah kepada-Nya, memberikan kesan psikologi dan sosial yang besar dalam jiwa orang-orang beriman. Pada masa yang sama, ia juga memberikan kesan yang besar kepada hati musuh-musuh Islam.
Oleh sebab itu, Allah memerintahkan umat supaya bersatu di atas agama-Nya. Allah Taala berfirman:
Maksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah.” [Ali ‘Imran: 103]
Syeikh al-Sa‘di RA berkata:
أمرهم تعالى بما يُعينهم على التقوى وهو الاجتماع والاعتصام بدين الله، وكون دعوى المؤمنين واحدة مؤتلفين غير مختلفين، فإنّ في اجتماع المسلمين على دينهم، وائتلاف قلوبهم يصلح دينهم وتصلح دنياهم، وبالاجتماع يتمكنون من كلّ أمر من الأمور، ويحصل لهم من المصالح التي تتوقف على الائتلاف ما لا يمكن عدّها، من التعاون على البر والتقوى، كما أن بالافتراق والتعادي يختلّ نظامهم وتنقطع روابطهم ويصير كلّ واحد يعمل ويسعى في شهوة نفسه، ولو أدّى إلى الضرر العامّ [14]
Maksud: “Allah Taala memerintahkan mereka dengan perkara yang membantu mereka mencapai ketakwaan, iaitu bersatu dan berpegang teguh kepada agama Allah serta menjadikan seruan orang-orang beriman satu, bersatu dan tidak berbeza-beza.
“Sesungguhnya dengan kesatuan umat Islam di atas agama mereka dan penyatuan hati mereka, agama dan dunia mereka akan menjadi baik. Dengan kesatuan, mereka mampu melaksanakan setiap urusan dan memperoleh pelbagai maslahat yang tidak terhitung banyaknya yang bergantung kepada kesatuan, antaranya bekerjasama dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.
“Sebaliknya, dengan perpecahan dan permusuhan, sistem kehidupan mereka menjadi rosak, hubungan mereka terputus dan setiap orang akan bekerja serta berusaha menurut kehendak dirinya sendiri, sekalipun perkara tersebut membawa kemudaratan kepada kepentingan umum.”
Tidak dapat dinafikan bahawa umat ini sedang melalui pelbagai keadaan perpecahan dan keretakan. Namun, ibadah haji seperti ini mengembalikan kesatuan dan kewibawaan umat serta menghidupkan kembali semangat persaudaraan iman setiap tahun. Ia mengingatkan agar seorang Muslim tidak terlalu sibuk dengan keresahan dan masalah peribadinya sehingga melupakan keresahan, masalah dan isu-isu besar yang dihadapi oleh umat.
Penutup
Sebagai penutup, wahai pembaca yang budiman, ini hanyalah sebahagian daripada maqasid dan rahsia yang Allah telah perlihatkan kepada sebahagian daripada hamba-Nya berkaitan fardu yang agung ini.
Hikmah Allah serta rahsia dan maqasid di sebalik ibadah-ibadah-Nya merupakan lautan yang luas. Allah menyingkap daripadanya apa yang Dia kehendaki dan menyembunyikan apa yang Dia kehendaki.
Dalam semua keadaan, seorang hamba hendaklah sentiasa berada dalam keadaan menghambakan diri kepada Allah, sama ada dia mengetahui hikmah sesuatu ibadah ataupun hikmah tersebut tersembunyi daripadanya. Hal ini kerana dia menyembah Tuhan Yang Maha Bijaksana; Dia tidak memerintahkan sesuatu melainkan terdapat hikmah padanya dan tidak melarang sesuatu melainkan dengan hikmah.
Kita memohon kepada Allah Taala agar memudahkan kita menunaikan haji dan umrah serta tidak menghalang kita daripada menziarahi Baitullah-Nya yang mulia.
Alangkah baiknya jika kita mentadabburi maqasid-maqasid ini sekalipun kita tidak berkesempatan menunaikan haji.
Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda serta seluruh para sahabat Baginda.
Nota Kaki
[1]al-Tahrir wa al-Tanwir: (2/231).
[2] Tidak tersembunyi bahawa dunia pada tahun ini telah diuji dengan penularan virus Corona yang kesannya turut melibatkan ibadah haji. Mudah-mudahan perkara ini menjadi dorongan kepada kita untuk mensyukuri nikmat Allah Azza wa Jalla yang telah memudahkan pelaksanaan ibadah ini sebelum ini serta bersegera menunaikannya ketika berada dalam keadaan sihat. Kita memohon kepada Allah agar memudahkan urusan para jemaah haji pada tahun ini serta menjauhkan keburukan daripada mereka.
[3]Mahasin al-Ta’wil karya al-Qasimi: (2/63).
[4]Tafsir al-Raghib al-Asfahani: (1/412).
[5]Ihya’ ‘Ulum al-Din: (1/267).
[6]Ihya’ ‘Ulum al-Din: (1/266).
[7]Tafsir al-Sa‘di: (91).
[8]Ighathah al-Lahfan min Masayid al-Syaitan: (1/58).
Menurut al-Imam al-Raghib al-Asfahani, perkataan التلاوة berasal daripada perkataan تَلْوٌ, yang pada asalnya bermaksud mengikuti sesuatu perkara.
Namun, apabila perkataan تلا digunakan dalam al-Quran, ia mempunyai beberapa bentuk penggunaan dan makna.